Thursday 5 November 2009

UCAPAN BAJET 2010

5 November 2009

Parlimen: Terima kasih Tan Sri/Dato Yang DiPertua kerana memberi saya peluang untuk membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010. oleh kerana masa yang terhad saya ingin menyentuh beberapa isu terutama yang bersangkutan dengan Wilayah Persekutuan khususnya Parlimen Titiwangsa. Isu pertama ialah tentang Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR) atau MTEN di mana dua PPR dalam Titiwangsa terlibat iaitu PPR Hiliran Ampang & PPR Jelatek. Saya juga mengambil berat penjualan PPR Desa Rejang yang terletak dalam Parlimen Setiawangsa kerana sebahagian penduduk merupakan permindahan dari Flat Jln Pekeliling. Saya mulakan dengan membaca beberapa petikan dari memo yang diberikan oleh JawatanKuasa Bertindak Penjualan PPR mewakili penduduk PPR Jelatek:

PPR Jelatek telah dibina pada tahun 1991 yang asalnya adalah PPRT @ projek perumahan rakyat termiskin di Kg. Berembang Hilir, 2 blok PPR ini dibina hasil dari sumbangan Ahli-ahli Korporat dan bank-bank tempatan dimana dikatakan 100j telah dikumpulkan. Saya minta penjelasan dari Kementerian Kewangan samada maklumat ini tepat dan jika ya mengapakah PPR yang dibina atas sumbangan korporat mahu dijual pula.

Janji DBKL pada penduduk dalam surat bertarikh 30 April 1997 adalah bahawa DBKL akan bangunkan Projek Perumahan Awam di tapak Kg Bumiputera Datuk Keramat seksyen 88 & 88A. Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa ketika itu Drs. Sulaiman penduduk asal Kg. Bumiputra akan diberi keutamaan membeli dengan harga RM25k. Ini dia salinan surat yang diberi penduduk kepada saya. Jadi sekarang mereka menagih janji tersebut dan mendesak agar PPR yang hendak dijual kepada mereka sekarang hendaklah pada harga RM25k kerana PPA yang dijanjikan oleh DBKL sejak 12 tahun lalu masih lagi dalam keadaan padang jarak padang tekukur.

Tuan Yang DiPertu, saya juga sebagai Wakil Rakyat Titiwangsa membawa rasa tidak puas hati dan keresahan penduduk PPR lain yang terlibat. Permasalahan yang paling besar adalah kebanyakan penghuni @ penduduk PPR tidak mampu/ tidak layak ambil pinjaman bank. Apatah lagi untuk bayar deposit awal sebanyak RM5922 yang sangat tidak munasabah. Kalau menurut perkiraan kasar melalui pinjaman bank pembeli akhirnya kena bayar RM80k dengan ansuran lebih kurang RM789/bulan. Sedangkan sewaan bulanan sebanyak RM124 pun banyak yang tertunggak. Bagaimana mereka hendak langsaikan ansuran pinjaman rumah yang berkali ganda. Jadi mereka pinta supaya Kerajaan menyediakan 1 dana khas untuk membantu mereka dimana melalui dana khas ini tiada 'interest' dikenakan, pembelian melalui sewa-beli pada kadar sewaan sekarang. Juga mereka pinta sewa yang telah dibayar sejak mula permindahan hendaklah diambil kira sebagai bayaran ansuran. Ada yang sudah duduk selama 16 tahun iaitu sejak 1995 lagi. Mereka ini pemindahan dari kampung yang mereka teroka sejak 40-45 tahun yang lalu. Masa itu DBKL pun belum ada lagi, mereka ini datang dari kampung meneroka bandar untuk mencari rezeki dan menyeimbangkan kadar penduduk berbilang kaum di Kuala Lumpur. Sepatutnya Peneroka-peneroka Bandar ini diberi unit-unit percuma yang merupakan hak mereka seperti mana penduduk @ peneroka Kg. Berembang yang mendapat hak milik unit kondo yang dibina atas tapak kampung mereka atas hasil usaha dan keprihatinan Kerajaan PR di Selangor. Apakah KWP & DBKL tidak mahu menjadi Kementerian & Agensi Kerajaan yang prihatin serta mengiktiraf hak rakyat.

Kelayakan untuk membeli hendaklah diberi juga kepada penduduk yang telah berumur 60 tahun ke atas,OKU yang tiada pekerjaan tetap,ibu tunggal yang anak-anak masih bersekolah,golongan asnaf yang menerima bantuan Baitulmal dan kumpulan yang menerima bantuan JKM - barulah golongan yang sebegini terbela dan ini bersesuaian dengan polisi DBKL yang mahu menjadikan KL sebagai tempat tinggal pelbagai golongan dan bukan hanya orang-orang kaya dan mampu sahaja.

Untuk mengelakkan berlaku kekecohan adalah dicadangkan agar mereka yang menyewa dan membeli diasingkan blok-blok mereka. Ini sangat penting jika tidak akan timbul masalah besar dalam urusan penyelenggaraan blok-blok PPR tersebut. Sebab yang menyewa tidak bayar yuran penyelenggaraan dan selama ini DBKL yang senggara sedangkan yang membeli bayar yuran senggaraan.Bagaimana nak tubuhkan JMB jika unit-unit yang dijual serta dibeli berada dalam blok yang sama. Kecualilah DBKL bercadang untuk terus memainkan peranan sebagai JMB yang saya kira lebih baik serta lebih terurus.

Namun begitu yuran penyenggaraan yang dikenakan sangat tinggi iaitu sehingga RM60/bulan sedangkan beberapa flat lain hanya antara RM10-30. Saya mencadangkan supaya yuran senggaraan ini diturunkan kadarnya.

Satu lagi perkara penting yang perlu saya sebutkan di sini ialah polisi DBKL yang membekukan urusan penyewaan unit-unit PPR sepanjang operasi penjualan.sudahlah maklumat ini langsung tidak disampaikan kepada Wakil-wakil Rakyat; kami terpaksa mengejar Bahagian Perumahan mengapa permohonan-permohonan menyewa tidak ada jawapan sedangkan sudah dipohon berbulan-bulan, malah ada yang bertahun.barulah dimaklumkan tentang pembekuan tersebut. Di sini saya sebagai Wakil Rakyat merakamkan kekesalan atas pembekuan ini kerana sangat menyusahkan rakyat sehingga ada yang merempat di Pusat Khidmat saya, sedangkan proses penjualan tidak tahu berapa lama baru akan selesai. Saya harap Dato’ Bandar segera cairkan balik pembekuan ini dan khususkan sebahagian kakitangan untuk terus kendalikan urusan penyewaan PPR.

Isu kedua yang ingin saya sentuh ialah tentang projek-projek yang saya namakan projek LEMBAP di Titiwangsa khususnya di Zon Keramat. Kalau sebelum ini projek terbengkalai, Sekarang sudah disambung kerja-kerja pembinaan tetapi lembap makngut, siput pun laju lagi. Antaranya Keramat Mall, Dewan Orang Ramai Dato Keramat, Taman Tasik Dato Keramat, Balai Bomba Jln. Jelatek serta Bangunan MARA di persiaran gurney. Apa sudahnya Keramat Mall yang sudah siap tetapi masih belum beroperasi. Untuk pengetahuan semua saya sebagai Wakil Rakyat yang lalu-lalang di situ langsung tidak diberi apa-apa maklumat tentang perkembangan Keramat Mall. Nak dapatkan maklumat macam tunggu hujan emas dari langit. Saya terpaksa tunggu Sesi Parlimen untuk mendapatkan maklumat. Bangunan Keramat Mall ini tersergam indah tapi berada di belakang deretan rumah kedai & stesyen minyak. Saya ingin bertanya adakah penambahbaikan yang dipinta oleh peniaga-peniaga asal Pasar Keramat telah dipenuhi. Apakah langkah-langkah mengatasi masalah parkir, loading base serta lift yang tidak cukup. Apakah stesyen minyak serta rumah kedai berhampiran akan dipindahkan? Saya difahamkan 4 notis pindah telah dikeluarkan oleh DBKL tetapi mereka enggan. Apa langkah DBKL selanjutnya? Juga difahamkan cabutan undi telah dibuat pada bulan puasa lepas tetapi hanya 90 lebih dari 444 peniaga yang menyertai, yang lain-lain tidak turut serta kerana membantah.

Begitu juga dengan Dewan Orang Ramai Dato Keramat kelihatan hampir siap tapi masih belum dibuka kepada orang ramai.apakah halangannya?.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih atas sudahnya penambah baikan Taman Tasik Dato Keramat, cuma bahagian tandas masih belum siap serta belum dapat digunakan. Taman ini telah digunakan sepenuhnya dan saya kira terlalu sedikit dan kecil kemudahannya hingga penuh sesak dengan pengunjung-pengunjung terutama di hujung minggu. Saya cadangkan ditambah peralatan senaman supaya lebih ramai boleh melakukan senaman secara teratur.

Dalam sesi lepas Timb. Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan KWP telah mewujudkan 2 JawatanKuasa bagi menangani masalah projek terbengkalai iaitu JawatanKuasa Pemandu menangani masalah projek terbengkalai yang dipenguruskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan sendiri; juga JawatanKuasa kerja menangani masalah projek terbengkalai yang diketuai KSU. Saya ingin bertanya sejak Menteri baru ini berapa kalikah JawatanKuasa-jawatankuasa ini telah bermesyuarat,apakah keputusan-keputusan yang diambil untuk projek-projek yang saya sebutkan tadi dan bagaimana pula dengan proses pelaksanaannya.

Saya juga ingin penjelasan yang lengkap tentang perancangan bangunan Flat Jln. Pekeliling yang masih tersergam indah serta menjadi perhiasan di tengah-tengah bandaraya . Malah telah menjadi 'homestay' kepada penagih-penagih dadah serta muda/ mudi yang melampias nafsunya di situ. Semasa hendak pindahkan penduduk sebelum ini seolah-olah satu perancangan segera akan dibuat namun sekarang sudah setahun lebih masih tidak ada apa-apa yang dilakukan, harap dapat jawapan.

Dua lagi projek lembab di Keramat adalah Balai Bomba Jln. Jelatek yang sudah lama siap tetapi masih belum beroperasi - apa masalahnya dan saya harap Menteri KPKT bukan sahaja boleh bagi jawapan tapi terus bertindak dan saya bagi masa sehingga hujung tahun ini untuk Menteri memastikan balai tersebut beroperasi. Lagi satu “gajah putih” di Keramat adalah bangunan MARA di Persiaran Gurney. Saya tak faham, saya sudah bawa Menteri MARA sebelum ini untuk meninjau dengan berpuluh-puluh pegawai MARA turut serta. Pada masa itu bila Menteri tanya apa perancangan nampaknya pegawai-pegawai tersebut pun tidak berapa pasti.sampai sekarang sudah bertukar Menteri masih tidak bergerak juga. Ahli-ahli YB sekelian,inilah dia antara contoh punca pembaziran, ketirisan serta kebocoran yang menyebabkan poket negara kehilangan seperti dikatakan oleh Menteri Kewangan ke 2 dimana hampir 20% dari bajet tahunan negara bocor atau dibazirkan yang membawa kepada RM28b tambahan kos pada tahun lepas sahaja. Beginilah, sekiranya susah sangat tidak tahu apa nak buat bagi kepada Ahli Parlimen Titiwangsa menguruskan bangunan MARA tersebut. InsyaAllah dalam masa beberapa bulan bangunan kosong ini akan penuh dengan aktiviti.

YB. Dr. Lo’lo’ binti Dato’ Hj. Mohd Ghazali Isu ke 3 pula saya membawa rayuan dari golongan OKU. Mereka ucap terima kasih atas penambahan bantuan bulanan kepada anak-anak OKU dari RM50 ke RM150 sebulan. Tetapi bagaimana pula dengan bapa-bapa serta ibu-ibu OKU yang menanggung anak-anak.Bayangkan dengan RM200 sebulan elaun OKU yang bekerja dengan pendapatan yang minimum mana mungkin mencukupi untuk menanggung 4-5 orang anak yang bersekolah tambahan pula pekerjaan OKU selalunya tidak memberi pulangan yang sewajarnya. Ini belum dikira lagi belanja rawatan serta tambang berulang ke hospital, penyenggaraan alat-alat sokongan seperti wheelchair yang sudah tentu makin haus dan uzur, belum lagi kos dan kehilangan sumber pendapatan bila masuk wad. Jadi mereka mohon tambahan elaun pekerja OKU ie RM400 sebulan, bantuan harian jika masuk wad dan bil-bil penyenggaraan alat sokongn yang boleh dituntut semula. * Ada beberapa isu lagi yang akan dibangkitkan tetapi tidak sempat dan akan dibangkitkan semasa menteri-menteri menjawab mengikut kementerian. Dr Lo'lo' 5 Nov 2009

No comments: