Wednesday 30 December 2009

HANSARD PARLIMEN

Petanyaan Lisan
Daripada: YB Dr. Lo'lo' binti Mohamad Ghazali [Titiwangsa]
Tarikh : 30 November 2009
Soalan no. 8:
Minta Perdana Menteri menyatakan mengapakah JAWI tidak membenarkan sekolah-sekolah tahfiz dan sekolah agama atau SRI swasta mengadakan kurikulum bersepadu antara Al-Quran, mata pelajaran diniyyah dan mata pelajaran akademik serta apakah landasan prinsip ini.
Jawapan: [YB Dato' Dr. Mashitah Ibrahim, Timb. Menteri di Jabatan Perdana Menteri]
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kenyataan bahawa JAWI tidak membenarkan sekolah-sekolah tahfiz dan sekolah agama atau Sekolah Rendah Islam (SRI) swasta mengadakan kurikulum bersepadu antara Al-Quran, mata pelajaran diniyyah dan mata pelajaran akademik adalah tidak benar. Malah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak pernah menghalang mana-mana sekolah agama atau sekolah tahfiz swasta untuk melaksanakan sistem integrasi kurikulum bersepadu akademi dan diniyyah.
Setakat ini, terdapat 19 buah sekolah agama/ institut tahfiz persendirian yang berdaftar dengan JAWI yang melaksanakan kurikulum secara bersepadu dengan mengintegrasikan antara kurikulum sekolah kebangsaan (akademik) dan kurikulum pendidikan Islam (diniyyah). Oleh itu tidak timbul isu yang menyatakan bahawa JAWI tidak membenarkan sekolah agama atau sekolah tahfiz swasta melaksanakan kurikulum berkenaan.
sekian, terima kasih.

No comments: