Thursday 11 February 2010

Sedia dana khas untuk pembangunan Kampung Baru

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar memperuntukkan satu dana khas untuk pembangunan Kampung Baru yang dikendalikan oleh satu badan amanah seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Beliau berkata, badan amanah berkenaan mesti dianggotai wakil-wakil pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang terdiri dari kalangan mereka yang pakar dalam pelbagai bidang seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Malay Agriculture Settlement (MAS) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) supaya penduduk yakin bahawa pembangunan yang dilaksanakan itu adalah untuk kepentingan mereka.
"Badan amanah ini akan merancang secara bersama kaedah dan mekanisma pembangunan Kampung Baru dengan mengambil kira kebajikan dan hak pemilik, memastikan pembangunan dimulakan dalam masa yang sewajarnya dan secara berfasa supaya perpindahan penduduk tidak berlaku ssecara serentak dan tergesa-gesa, memilih satu konsortium yang akan menjadi ‘pemaju’ untuk memastikan tiada penyelewengan, ketirisan dan kebocoran berlaku dan pemilik akan mendapat manfaat dengan terus memiliki dan menjadi stake-holder," katanya dalam blognya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengumuman Najib berhubung cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru, iaitu pembangunan akan dijalankan setelah mendapat persetujuan pemilik tanah dan penduduk di samping memastikan mereka tidak perlu berpindah ke tempat lain.
Najib dilaporkan berkata, sebuah badan khas yang dikelolakan oleh badan amanah kerajaan tanpa pembabitan sektor swasta akan diwujudkan bagi menggerakkan pembangunan semula Kampung Baru demi kepentingan penduduk.
Lo' Lo' yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyokong penuh pembangunan kawasan yang merupakan aset orang Melayu itu disegerakan memandangkan pemilik tanah di kawasan itu sudah jemu mendengar janji kosong kerajaan sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi.
"Sebelum Najib datang ke Kampung Baru, mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi, seminggu sebelum menyerahkan jawatan, juga telah datang ke tapak pasar minggu bersama Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri  Zulhasnan dan Datuk Bandar pada 30 Mac 2009 dan melakukan upacara pecah tanah projek Menara Puncak Baru berharga RM500 juta yang melibatkan sebuah menara kondominium setinggi 60 tingkat mengandungi 392 unit kediaman dan sebuah bangunan 40 tingkat mengandungi unit pejabat selain tiga tingkat ruang beli belah dan perniagaan.
"Projek ini dikatakan akan dimulakan dalam masa tiga bulan dari tarikh tersebut dan siap dalam masa empat hingga lima tahun yang diberikan secara runding-terus kepada Naza TTDI," katanya.
Namun menurutnya, setelah hampir setahun sejak Mac tahun lepas, Projek Puncak Baru belum lagi bermula sedangkan Abdullah sebelum ini berjanji akan memastikan pembangunan di kawasan lain di Kampung Baru akan dilakukan satu persatu selepas pembangunan Puncak Baru.
Beliau juga meminta Najib menjelaskan secara terperinci berhubung kenyataannya seperti yang disiarkan sebuah akhbar tempatan bahawa konsep pembangunan yang akan diperkenalkan tidak memerlukan penduduk dan pemilik tanah berpindah ke tempat lain dan mereka akan kekal di Kampung Baru dengan kaedah tanah diserah kepada kerajaan dan kerajaan meluluskan semula tanah itu kepada mereka.
Ini kerana, menurut Lo' Lo', kaedah yang dinyatakan agak mengelirukan dan bercanggah dengan kenyataan awal beliau bahawa penduduk dan pemilik tidak perlu berpindah.
Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa setiap pemilik tanah boleh menjadi jutawan pula menimbulkan kekeliruan dan kekhuatiran penduduk kerana apa yang difahami mereka dari kenyataan tersebut ialah tanah Kampung Baru akan diserahkan kepada kerajaan dan pampasan akan dibayar kepada pemilik sehingga RM4 juta seorang.
"Kenyataan PM kelihatan kontradik, kenyataan Menteri WP lagi jauh dari keyakinan yang cuba ditanamkan oleh PM kepada pemilik tanah yang rata-ratanya tidak mahu aset mereka yakni aset Islam/Melayu di tengah-tengah kosmopolitan Kuala LumpurL tergadai.
"Pengalaman pahit sebahagian pemilik tanah dan pewaris yang tanah mereka tergadai kepada bank setelah geran tanah diserahkan kepada syarikat korporat kepercayaan PM pada masa tersebut untuk dibangunkan yang akhirnya mereka kehilangan hak kepada aset mereka dan pada masa sama tidak mendapat pampasan menyebabkan para pemilik sukar meletakkan keyakinan mahu pun kepercayaan kepada sesiapa pun," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau selaku wakil rakyat yang dipilih rakyat akan terus memperjuangkan keadilan dan membela kepentingan rakyat khususnya pemilik-pemilik serta pewaris-pewaris tanah Kampung Baru serta memastikan aset aset orang Islam dan Melayu yang semakin terhakis akan terus dipertahankan.
"Amanah ini amanah yang berat dan saya berdoa agar terus diberi kekuatan dan kesihatan oleh Allah SWT untuk memikulnya," katanya.

2 comments:

Anonymous said...

salam Dr.Cuba lihat link dibawah ini..betapa rosaknya anak muda berbangsa Melayu.Apakah tindakan kita..? Tersedarkah kita..?

http://poserofloser.blogspot.com/

Anonymous said...

salam. saya tertarik dengan apa saja artikel ttg kg baru. sebagai seorang yg sukakan sejarah baik bangunan, tempat mahupun ceritanya,kg baru selayaknya dipelihara dan dipulihara. saya berpndpt pembangunan kg baru haruslah bersifat 'tradisional' bukan moden semata2, material,plastik dan bermasalah.Org kita suka bangga2kan tmpt bersejarah negara luar yg kaya dgn bgnn dan lanskap yg unik dan indah. mengapa tidak kita bangunkan kg baru seperti perkampungan melayu tradisional yg kaya dengan budi bahasa & sopan santun penduduknya, tersergam rumah2 kg bercirikan tradisional melayu, jalan -jalan dan lamannya mempunyai lanskap taman melayu. pendek kata menjadikan kg baru spt zaman kesultanan melayu melaka dulu. sekiranya pembangunan kg baru seperti di atas saya percaya nilai-nilai murni masyarakat melayu spt gotong-royong, ziarah-menziarahi, bertolak-ansur dan sebagainya dpt dikekalkan. bukankah ia suatu yg unik apbl tdpt sebuah kg tradisional yg maju, bersih, indah dan tersusun di tengah2 kl! kerajaan yg bijak boleh merealisasikan pmbgnn ini dgn berhemat dgn sokongan dewan bandaraya, penduduk kg dan warga korporat juga dr lo'lo' selaku ahli parlimen. terima kasih.