Wednesday 7 April 2010

Pihak ketiga dalam PDRM -usul yang ditolak-

Dr. Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Tuan Yang di-Pertua, Peraturan Mesyuarat 18(1). Saya pada pagi ini menerima satu surat daripada Tuan Yang di-Pertua berkenaan dengan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) berkenaan dengan pihak ketiga dalam PDRM yang dikatakan perkara ini sebelum ini telah pun dibangkitkan dalam sesi pertanyaan jawab lisan pada hari Selasa, 23 Mac yang lalu. Dan dengan itu, usul ini telah ditolak dalam kamar. Jadi saya di sini, ingin menyatakan bahawa apa yang dijawab oleh Yang Berhormat Menteri semasa soal jawab lisan adalah terlalu ringkas. Sedangkan ini adalah satu perkara yang sangat penting. Seluruh saya percaya sama ada pihak di sini ataupun pihak Barisan Nasional di sana juga dan pegawai-pegawai kerajaan tertanyatanya tentang perkara ini. Sempena Hari Polis ke-203 hari ini, saya memohonlah kepada

Tuan Yang di-Pertua agar menerima usul ini untuk kita bahaskan. Kerana ini adalah satu perkara yang menyentuh keselamatan negara. Bayangkan pencerobohan berlaku secara langsung dalam institusi yang kita anggap paling selamat iaitu PDRM, Polis Diraja Malaysia. [Dewan riuh] Ya, bagaimana kita boleh merasakan perkara ini tidak penting. Walaupun mungkin saya boleh bercakap di dalam – boleh bangkitkan di dalam perbahasan akan tetapi dengan masa yang begitu terhad saya kira kita patut berbincang, kedua-dua pihak ini berbincang dan mendapat penjelasan khusus daripada Yang Berhormat Menteri. Jadi saya mohonlah daripada Tuan Yang di-Pertua untuk membuat satu ruling yang baru tentang perkara ini dan menerima usul ini untuk dibahaskan. Terima kasih. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, sebagaimana biasalah Yang Berhormat, kalau keputusan telah dibuat oleh Speaker, saya tidak boleh duduk di sini menjadi tempat rayuan untuk di reverse kan keputusan yang telah dibuat. Yang Berhormat sendiri telah menyebut bahawa perkara ini telah dibangkit 23 Mac oleh Yang Berhormat Rasah dan Yang Berhormat Menteri juga telah menjawab. Kalau dibincangkan pun hari ini saya cukup yakin jawapan yang sama juga akan diberi.

Yang kedua, kita masih dalam perbincangan untuk membahaskan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maknanya peluang kita untuk membahas soalan ini ada terdedah di hadapan kita Yang Berhormat. Yang Berhormat sendiri pun belum berbahas. Ya, saya boleh memberi Yang Berhormat peluang untuk berbahas. Jadi falsafah ataupun dasar di sebalik 18(1) Yang Berhormat ialah memang tidak ada peluang untuk membahaskan isu tersebut dalam agenda harian kita.

Jadi, itulah kenapa peluang itu di beri di bawah 18(1). Jadi di sini kita mempunyai peluang dan ruang dan benda ini bukan lagi perkara yang perlu dipercepatkan kerana telah diketahui ramai dan telah di jawab dalam Dewan. Jadi dengan itu Yang Berhormat, saya menolak, terima kasih.

No comments: