Saturday 26 June 2010

SEJARAH PENUBUHAN _ Kampung Baharu Kuala Lumpur

Tuesday, June 22, 2010 at 1:51pm

SEJARAH PENUBUHAN



Kampung Baharu telah diwujudkan seawal tahun 1899 atas desakan penduduk Melayu di Kuala Lumpur ke atas pihak pentadbir Brittish. Ekoran desakan tersebut, Residen Brittish Selangor telah bersetuju untuk menubuhkan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur merangkumi seluas 223 ekar tanah di antara Sungai Klang dan juga Jalan Batu (Batu Road). Antara tujuan Jeneral Residen Brittish mewujudkan perkampungan tersebut adalah untuk melibatkan dan mendidik anak-anak bangsa Melayu :-

a) Untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran Kerajaan Residen Brittish;

b) Untuk membolehkan orang-orang Melayu mengambil peluang dalam pembangunan dan kemajuan Kuala lumpur.



Bagi mencapai tujuan tersebut, telah dipersetujui bahawa :-

a) Orang-orang/anak-anak Melayu diberikan peluang mendapatkan pendidikan Inggeris-Melayu; dan

b) Memberikan pendidikan tentang perniagaan, perdagangan dan komersial.



Ekoran dari itu maka pada 12 haribulan Januari 1900 melalui Warta Kerajaan No. 20 berbunyi seperti berikut :-

“ No. 50. In exercise of the powers conferred upon him by section 246(iv) of the Land Code (FMS Cap 138) the Ruler in Council hereby makes the following Rules for the occupation and management of the Reserve known as the “Malay Agricultural Settlement” and so gazetted as notification No. 20 and amended by notification No. 530 published in the Selangor Government Gazette of 12th January, 1990, and 20th September, 1901, respectively



These Rules may be cited as “THE MALAY AGRICULTURAL SETTLEMENT (KUALA LUMPUR) RULES, 1950 (also Amendment Rules, 1954).



Kampung Baharu Kuala Lumpur yang asalnya berkeluasan 223 ekar semasa penubuhannya mengandungi 7 buah kampong :-

i) Kampung Periok;

ii) Kampung Masjid;

iii) Kampung Atas A;

iv) Kampung Atas B;

v) Kampung Hujung Pasir;

vi) Kampung Paya dan

vii) Kampung Pindah.





PENTADBIRAN KAMPUNG BAHARU



Seksyen 3 (1) The Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1950 berbunyi seperti berikut :



‘The Settlement shall be under the management and control of a board which shall consist of 11 members”



Berdasarkan peruntukkan Seksyen 3 (1) ini adalah jelas bahawa urusan pentadbiran dan kawalan Kampung Baharu adalah terletak di bawah kuasa Lembaga Pentadbir Malay Agricultural Settlement (Lembaga MAS)





LEMBAGA PENTADBIR MALAY AGRICULTURAL SETTLEMENT



Penubuhan dan organisasi



Lembaga MAS ini telah ditubuhkan bagi mentadbir dan mengawal segala urusan berkaitan tanah Kampung Baharu. Lembaga MAS terdiri daripada 11 orang ahli yang mana empat (4) daripadanya dilantik oleh Meteri Besar Selangor yang akan juga turut dilantik sebagai Setiausaha agung dan Bendahari (Seksyen 3 (2).



Pada awal penubuhannya 4 orang ahli yang dilantik tersebut terdiri dari kalangan pegawai-pegawai tinggi Brittish dan juga Kerabat Diraja Selangor. Hanya selepas Perang Dunia Kedua

20/9/1901 barulah beberapa orang penduduk dilantik di dalam Lembaga.



Tujuh (7) orang ahli Lembaga yang lain masing-masing adalah Ketua 7 Kampung di dalam Kampung Baharu.



Pada awal penubuhannya, perlantikan Ahli Lembaga Malay Agricultural Settlement telah dibuat oleh Pemangku Resident British pada masa itu H. Conway Belfield. Lembaga ini dipengerusikan oleh Raja Muda, Naib Pengerusi D.G. Campbell dan ahli-ahli lain ialah J.H. M. Robinson, A. Hale dan Tamby Abdullah. Mengikut rekod, mesyuarat pertama Lembaga ini adalah pada 11 haribulan Mac, 1900.



Tugas Lembaga MAS



Mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor tersebut, Lembaga Pentadbir ini adalah bertanggungjawab kepada Residen British bagi menguruskan pentadbiran Kampong Bharu yang luas kawasannya lebih kurang 89.63 Hekter. Luas kawasan ini kemudiannya telah dipinda kepada lebih kurang 89 hekter sahaja.



Pindaan ini telah diwartakan di dalam Warta Kerajaan No. 530 bertarikh pada 20 September 1901.Di antara tugas-tugas Lembaga Pentadbir Kampong Bharu ini adalah:



1. Lembaga Pentadbir ini boleh membenarkan sesiapa saja yang berbangsa Melayu memohon untuk tinggal di Kampong Bharu. Luas kawasan yang diperuntukkan adalah tidak melebihi 0.8 hekter bagi tiap-tiap seorang pemohon.

2. Adalah hak Lembaga Pentadbir mengarahkan penduduk Kampong Bharu ini agar mengerjakan tanah mereka serta menjaganya terutama- nya dari segi kawalan kebersihan.

3. Lembaga Pentadbir berhak mengarahkan anak-anak penduduk Kampong Bharu belajar di sekolah-sekolah yang telah dipilih oleh Lembaga, Penduduk yang engkar boleh diperintah pindah.

4. Penduduk yang ingin pindah dari Kampong Bharu ke tempat lain boleh memberikan lot tempat tinggalnya kepada orang lain dengan mendapat kelulusan dari pihak Lembaga Pentadbir.



Kuasa-kuasa Lembaga



Lembaga Pentadbir MAS telah diberikan kuasa-kusa seperti berikut :-

a) Lembaga boleh membuat undang-undang kecil sendiri selaras dengan peraturan-peraturan M.A.S (KL) 1950;

b) Melulus dan menetapkan syarat-syarat pemberian lot-lot rumah untuk pemohon Melayu;

c) Menyimpan Daftar penduduk yang telah diluluskan termasuk berbagai butir mengenai pertukaran seperti pindahmilik termasuk secara syariah.

d) Melulus dan menetapkan syarat-syarat pelan-pelan bangunan dan sambungan rumah;

e) Berkuasa menyingkir penduduk yang ingkar dan merbahaya kepada masyarakat M.A.S Kampung Baharu dengan syarat yang ada persetujuan bertulis dari Menteri Besar Selangor.





ADAKAH ENAKMEN “THE MALAY AGRICULTURAL SETTLEMENT” DAN LEMBAGA M.A.S INI MASIH BERFUNGSI SEKARANG



Rujuk kepada hansard Parlimen bertarikh 27 haribulan Jun, 2006.



8. Datuk Haji Astaman bin Abdul Aziz [Titiwangsa] minta Perdana Menteri menyatakan apakah status tanah Kampung Baru Kuala Lumpur yang tidak mempunyai geran hak milik serta menerangkan sama ada peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951 (Malay Agricultural Settlement Rules 1951), Warta Negeri Selangor No. 50/1951, masih lagi berkuat kuasa pada hari ini setelah mengambil kira Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1974 yang telah memindah milik Bandar raya Kuala Lumpur dari Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]:

Tuan Yang di-Pertua, The Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru Kuala Lumpur adalah merupakan satu kawasan penempatan pertanian bagi orang-orang Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur yang diwujudkan melalui perizaban di bawah seksyen 6 Enakmen Tanah 1897 sebagai The Malay Agricultural Settlement seluas lebih kurang 221.5 ekar. Bagi mengawasi tanah-tanah ini secara teratur, pada tahun 1950 telah diwujudkan pula by law bagi MAS ini iaitu The Malay Agricultural Settlement Kuala Lumpur Rules 1951 dan juga peraturan (Pindaan) 1994 melalui kuasa Land Code 1962, CAP 138, seksyen 246 (4).

Mulai tahun 1964, Kerajaan Negeri Selangor telah mula meluluskan pengeluaran hak milik bagi tanah-tanah di dalam kawasan ini. Exercise tersebut diteruskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai tahun 1974, apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan sehingga sekarang. Dari segi bilangan lot yang terdapat di Kampung Baru adalah seperti berikut:

(i) lot untuk kediaman - 835;

(ii) lot bagi padang ataupun kawasan lapang ialah empat lot;

(iii) masjid satu lot dan

(iv) untuk surau ada lima lot.



Daripada 835 lot kediaman, sebanyak 827 lot telah dikeluarkan hak milik dan bakinya di dalam pertimbangan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagi tapak surau dan kawasan lapang, hak milik belum dikeluarkan lagi. berhubung dengan persoalan sama ada Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951, (The Malay Agricultural Settlement Rules 1951), Warta Negeri Selangor No. 50/1951 masih lagi berkuat kuasa.



Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa mengikut seksyen 6 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1974, Akta A 2006, “Mana-mana undang-undang bertulis yang sedia ada dan sedang berkuat kuasa dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hendaklah terus berkuat kuasa dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehinggalah undang-undang bertulis itu dimansuhkan, dipinda atau digantikan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen”.

Seksyen tersebut juga memperuntukkan bahawa, “Apa-apa fungsi atau kuasa yang terletak hak kepada raja bagi negeri Selangor atau pada mana-mana pihak berkuasa negeri, itu oleh mana-mana undang-undang yang sedia ada berhubung dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hendaklah terletak hak itu kepada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan atau mana-mana orang atau pihak berkuasa lain yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah”.



Dengan itu, selagi kaedah-kaedah Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951 tidak dibatalkan atau digantikan dengan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, kaedah-kaedah itu masih lagi berkuat kuasa pada hari ini.



Datuk Haji Astaman bin Abdul Aziz: Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Memandangkan jawapan demikian, saya hendak tahu sama ada pihak DBKL yang mempengerusikan Majlis MAS itu adalah sahih daripada segi undang-undang atau tidak.



Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, seperti mana yang telah saya sebut sebentar tadi iaitu di bawah akta ini, kalau sekiranya sebelum ini iaitu Kuala Lumpur diletak di bawah negeri Selangor, kalau disebutkan bahawa hak itu terletak kepada raja bagi negeri Selangor atau mana-mana pihak berkuasa negeri itu oleh mana-mana undang-undang yang sedia ada berhubung dengan Wilayah Persekutuan, maknanya di WilayahPersekutuan ini sekarang ini, yang berhak ialah Yang di-Pertuan Agong dan juga Menteri Wilayah Persekutuan. Jadi kalau sekiranya Dato’ Bandar yang mempengerusikan MAS, maka itu adalah sah kerana mengikut undang-undang ini, kuasa itu telah dipindah daripada mereka yang berkuasa di negeri Selangor kepada sekarang ini, mereka yang berkuasa di Wilayah Persekutuan.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

No comments: