Wednesday 27 October 2010

Remaja umur 12 tahun mati kerana menjalin hubungan seks dengan 3 remaja lelaki

Tergamam dan tidak tahu mana nak mula, sudut mana nak dikupas, bab mana nak dianalisa. Buang bayi dari atas flat, pelajar campak bayi dari kolej kediaman, tiba2 semalam dikejutkan dengan berita yang lebih buruk. REMAJA 12 TAHUN SANGGUP PANJAT BUMBUNG FLAT KEDIAMAN UNTUK BERASMARA DANA DENGAN 3 REMAJA LELAKI. Mereka bukan remaja bodoh tapi bermaklumat sebab dijumpai juga beberapa keping kondom yang tentulah bermaksud 'for safe sex'. Safe from STD, HIV, AIDS. Safe from unwanted pregnancy. Guna kondom untuk 'seks yang selamat'. Selamat dari penyakit yang disebarkan melalui seks rambang, selamat dari HIV dan AIDS. Paling penting selamat dari termengandung.

Namun ketentuan Allah mengatasi segala2nya. Remaja perempuan remaja sunti 12 tahun ini tidak selamat apabila jatuh dari balkoni lalu MAUT ketika cuba melarikan diri setelah menyedari aktiviti mereka telah dikesan oleh orang-orang dewasa kediaman tersebut. Astaghfirullah, apa lagi perkataan yang paling sesuai digunakan untuk menerangkan tragisnya peristiwa ini. Apakah cukup kita ni setakat menggeleng2 kepala.

Hai bapa2, ibu2, guru2, penjaga kepada remaja. JANGAN PERCAYA remaja kita 100%. Saya sangat cemburu anak2 remaja saya. Semasa mereka menginjak umur remaja yang penuh perasaan ingin tahu, rasa cinta dan nafsu yang membuak2 ditambah dengan pendedahan kepada dunia IT tanpa sempadan,saya sentiasa pantau secara lagsung. Kalau hantar tuisyen, kadang2 datang balik 1/2 jam kemudian untuk pastikan anak ada dalam kelas. Bila ada peluang, buka hanfon untuk semak sms yang dihantar dan diterima, nombor2 panggilan dan sekarang kena cek gambar2 (dulu2 zaman remaja anak2 saya hanfon belum canggih sangat).

Remaja saya tidak saya lepaskan hatta ke KLCC yang hanya sejarak 2 stesyen jauhnya dari rumah saya. Kalau nak pergi untuk tujuan apa dan sudah tentu diiringi Mama atau dan Babah.. Mereka kadang2 malu, sebab kawan2 kata macam orang dolu2, kolot. Tidak kira anak lelaki atau perempuan, sama sahaja cara saya mendidik dan membesarkan mereka walaupun sudah tentu ada perbezaan dari sudut biologi dan perbezaan jantina.

Sehinggalah mereka berumur 20 tahun keatas, dan setelah kami suami isteri meyakini kebolehan, kematangan dan kedewasaan mereka untuk menjaga diri, barulah mereka diberi lebih kebebasan untuk mengendalikan urusan kehidupan mereka sendiri. Banyak sebenarnya yang kami suami isteri lalui bersama dalam mendidik dan membesarkan anak2. Kami melabur dalam pendidikan mereka sehingga kami tidak pernah hidup mewah walau pun dua2 Doktor Perubatan. Sedaya upaya kami ikut sepenuhnya ajaran Alquran dan AsSunnah sebab kami yakin dan sewajarnya semua ibubapa Islam wajib yakin didik anak cara Islam itulah yang selamat untuk mereka menghadapi dunia dan akhirat.

Berbalik kepada cerita sedih tadi, taaziah kepada keluarga remaja perempuan yang terbunuh. Moga Allah ampunkan dosa dia kerana mungkin terlalu muda untuk sempat membezakan buruk baik, ibu bapanya saya percaya sudah cuba mengikut kemampuan mereka. Apa nak dikata, kejahilan merata2. Kalau sampai isteri pemimpin tinggi negara pun tidak tahu membezakan Islamic dengan nonIslamic situation yang membawa kepada penghinaan kepada Islam, apa lagi pilihan kita ada.

Rakyat mesti berani buat perubahan, jika Najib ajak Ahli UMNO pertahan PutraJaya walau bercerai daging dari tulang, kita rakyat yang cintakan syariat Islam, keadilan dan Kerajaan yang Bersih mesti kerja kuat, kerja smart, kerja sungguh2 untuk beri kesedaran kepada rakyat untuk beri peluang kepada PR untuk menerajui pemerintahan negara dan melakukan 'Real genuine transformation'


DR LO'LO'





Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Friday 22 October 2010

Rosmah rasmi festival pakaian Islam ala 1malaysia

ISLAMIC FASHION!!!!! Tang mana yang Islamic nya???

Nauzubillah! Ya Allah, Kau jauhilah kami dari azab Mu akibat dari mereka yg sengaja mungundang kemurkaan Mu ini.

Kita jahil atau dijahilkan











Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Sunday 17 October 2010

PROGRAM SYNERGI KELUARGA BAHAGIA " Sedang Mencari Formula Keluarga Mithali "



‎'' PROGRAM SYNERGI KELUARGA BAHAGIA "
( sedang mencari formula keluarga mithali )

13/11/2010
8.00am-5.00pm

Dewan Tingkat 16,
Menara Yayasan Selangor,
18A Jalan Persiaran Barat,
46000 Petaling Jaya

.Anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa, Yayasan Selangor dan Nisa' Titiwangsa

Nursery untuk bayi dan anak kecil insyaAllah akan disediakan.

KEUTAMAAN KEPADA PASANGAN2 YG TELAH MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI TITIWANGSA, MEMPUNYAI ANAK DLM LINGKUNGAN UMUR SEKOLAH MENENGAH&SEKOLAH RENDAH serta berpendapatan RM3000 ke bawah.

Hubungi Puan Hafizah 0133321183, Puan Samila 0192698829, Cik Nazirah 0133183845



Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com Twitter: docmarjan FB: Yb Dr Lo'Lo'

Penerima Skim Mesra Usia Emas ( SMUE ) Parlimen Titiwangsa






 

Syarat & Prosedur

Warga Emas yang cukup syarat bolehlah mengisi borang permohonan menyertai Skim Mesra Usia Emas / OKU. Semua permohonan hendaklah mematuhi prosedur dan garis panduan permohonan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan Negeri Selangor.

A. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MEMOHON:

1. Warga Emas yang layak mendaftar adalah seorang WARGANEGARA MALAYSIA berumur 60 tahun dan ke atas; DAN

1.1 - Lahir dan sedang menetap di Negeri Selangor; ATAU

1.2 - Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1/2/1974 DAN sedang menetap di Negeri Selangor atau di Wilayah Persekutuan; ATAU

1.3 - Bermastautin di Negeri Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun (bagi yang bukan kelahiran Negeri Selangor)


2. Bagi OKU yang lahir di Negeri Selangor, tiada had umur ditetapkan. Bagi OKU kelahiran di luar Negeri Selangor mestilah juga telah menetap di Negeri Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun. Hanya OKU yang memiliki Kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja layak untuk mendaftar.

3. Kerajaan Negeri akan menyumbang sejumlah RM2,500 kepada Penama Warga Emas yang meninggal dunia dan telah berdaftar. RM1,000 akan diberikan selepas menerima laporan kematian serta dokumen lengkap diserahkan dan pengesahan telah dibuat. Baki RM1,500 akan diserahkan dalam tempoh 60 hari selepas penyerahan bayaran pertama dibuat dalam satu majlis khas.

4. Hanya ahli yang telah berdaftar dan meninggal dunia sahaja yang layak menerima sumbangan di bawah Skim Mesra Usia Emas. Bagaimanapun, pendaftaran ahli selepas warga emas meninggal dunia adalah dibenarkan, sehinggalah dinyatakan sebaliknya.

Sila rujuk di sini untuk maklumat yang lebih terperinci berkaitan syarat-syarat tambahan.

B. PUSAT PENDAFTARAN:

Pendaftaran Skim Mesra Usia Emas dan OKU boleh dibuat di pusat-pusat pendaftaran yang sah seperti berikut:

1. Pusat Khidmat DUN seluruh Selangor & Parlimen WPKL
2. Pejabat Tanah / Daerah Seluruh Selangor (Muat turun senarai)
3. Pihak Berkuasa Tempatan (Muat turun senarai)
4. Rantaian Mesra Sdn. Bhd.


C. PROSEDUR PENDAFTARAN:

1. Sila semak di sini bagi memastikan pendaftaran untuk ahli berkenaan belum lagi dibuat oleh mana-mana pihak

2. Pendaftaran dibuat dengan dengan mengisi Borang Mesra Usia Emas (klik di sini untuk muat turun contoh borang smue) yang boleh didapati dengan PERCUMA dari Pusat Pendaftaran di seluruh Selangor dan WP Kuala Lumpur. (Sila lihat di bawah B. Pusat Pendaftaran). Pendaftaran hendaklah mengikut kawasan di mana warga emas dan OKU tersebut tinggal (Contohnya: jikalau menetap di Shah Alam, hendaklah mendaftar di Shah Alam.)

3. Dokumen WAJIB yang telah disahkan yang diperlukan untuk urusan pendaftaran ialah:

a) Salinan MyKad Ahli
b) Salinan MyKad Penjaga
c) Salinan MyKad Penama
d) Salinan Kad OKU (jikalau OKU)

D. PROSEDUR PEMBAYARAN:

Pembayaran Manfaat Pertama:

Apabila berlaku kematian, Penjaga atau Penama hendaklah melaporkan kematian kepada Pusat Khidmat DUN, tempat di mana Ahli didaftarkan dalam Skim Mesra Usia Emas. Ahli yang meninggal di luar Negeri Selangor tidak layak menerima manfaat.

Pada kebiasaannya di dalam tempoh 7-14 hari selepas menerima laporan kematian Ahli yang berdaftar dengan Skim Mesra Usia Emas, ADUN / Wakil ADUN / Parlimen akan menyampaikan sumbangan manfaat sebanyak RM1,000 kepada penama yang telah didaftarkan.

Dokumen wajib yang diperlukan untuk urusan tuntutan:

a) Salinan MyKad penama
b) Permit Menguburkan / Pembakaran atau salinan Sijil Kematian
c) Borang Tuntutan Bayaran Skim Mesra Usia Emas yang telah diisi oleh penama yang sah.


Pembayaran Manfaat Kedua:

Di dalam tempoh 60 hari berikutnya, Ahli Dewan Rakyat / Ahli Dewan Undangan Negeri / Wakilnya akan menyerahkan bayaran manfaat RM1,500 kepada penama di satu majlis yang dibuat di lokasi yang ditentukan bersama oleh Pejabat Tanah & Daerah dan Pusat Khidmat DUN / Parlimen.

Dokumen-dokumen WAJIB yang diperlukan untuk urusan pembayaran manfaat kedua:

a) MyKad penama ASAL serta salinan fotostat
b) Sijil Kematian ASAL serta salinan fotostat


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Saturday 16 October 2010

Kerajaan perlu jelaskan tubuh PPKB



PENUBUHAN PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU: TERHAKISNYA ASET ORANG MELAYU

Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik dalam sidang Parlimen yang baru lalu telah mengesahkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan Konsep Pembangunan Semula Kampung Baru Secara Komprehensif. Konsep pembangunan ini akan dilaksanakan melalui proses penyerahan hakmilik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan proses penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah tersebut di bawah Seksyen 204D KTN. Kaedah jual-beli tanah dan pengambilan balik tanah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960 akan turut digunakan oleh pihak Kerajaan.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, maka sebuah badan berkanun bernama “Perbadanan Pembangunan Kampung Baru” akan ditubuhkan di bawah Seksyen 49(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, 1982. Perbadanan ini akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pembangunan semula Kampung Baru. Hasrat Kementerian ialah supaya Perbadanan ini menjadi satu entiti perniagaan dan pelaburan (‘business and investment entity’) untuk membangunkan kawasan pembangunan Kampung Baru yang dikenalpasti melalui Pelan Tempatan Kampung Baru tanpa terlalu banyak terkongkong dengan peraturan-peraturan yang biasa terpakai kepada agensi-agensi Kerajaan.

Mana-mana bahagian di dalam Kampung Baru yang dikenalpasti untuk dibangunkan, akan diisytiharkan sebagai “Kawasan Pembangunan” (development area) dari masa ke semasa menurut Seksyen 47 Akta tersebut. Apabila ia telah diisytiharkan sebagai Kawasan Pembangunan, maka Kerajaan boleh menggunakan kaedah undang-undang yang dinyatakan di atas untuk mengambilmilik hartanah tersebut termasuklah dengan menggunakan kaedah pengambilan wajib (compulsory) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960! Apabila kaedah pengambilan tanah seperti ini digunakan, maka keputusan Kerajaan tersebut adalah muktamad dan ia tidak boleh dicabar dalam mana-mana Mahkamah melainkan setakat jumlah pampasannya sahaja.

Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Perbadanan tersebut dikatakan akan dibentang di Parlimen dalam sesi ini. Namun demikian, sehingga kini salinan RUU tersebut masih belum diedarkan oleh pihak Kerajaan kepada umum. Walau bagaimanapun, melihat kepada draf cadangan penubuhan Perbadanan tersebut, terdapat beberapa peruntukan-peruntukan tertentu yang amat memprejudis dan merugikan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) di Kampung Baru ini. Bukan hanya setakat Lembaga MAS yang sudah mentadbir Kampung Baru selama lebih seratus tahun dinafikan kewujudan dan peranannya dalam cadangan pembangunan Kampung Baru tersebut, malah transaksi hartanah Kampung Baru juga terbuka luas untuk dieksploitasi dan dipindahmilikkan kepada orang-orang bukan Melayu atau sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai oleh Perbadanan (yang bertindak sebagai entiti perniagaan dan pelaburan !). Ini dapat dilihat dalam beberapa peruntukan seperti berikut:-

1. Senarai Keanggotaan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru

Kenggotaan Perbadanan terdiri daripada Datuk Bandar yang bertindak sebagai Pengerusi, tiga (3) orang wakil dari Kerajaan Persekutuan iaitu KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, KSU Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (atau wakil-wakil mereka) , Peguam Negara atau wakilnya, Ketua Pengarah DBKL dan dua (2) orang lain yang dilantik oleh Pengerusi dengan persetujuan Menteri , yang mempunyai kelayakan professional, akademik dan pengalaman dalam perkara-perkara berhubung dengan perbankan, hartanah, pelaburan, perancangan kerajaan tempatan, kewangan, pembangunan hartanah, perdagangan, pentadbiran dan perniagaan. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan akan bertindak sebagai Setiausaha kepada Perbadanan.

Dari susunan anggota-anggota Perbadanan di atas, maka jelas sekali tidak ada tempat untuk wakil pemilik tanah, waris dan penduduk Kampung Baru, ahli Lembaga MAS mahupun Wakil Rakyat (Ahli Parlimen Titiwangsa) dalam Perbadanan ini. Natijahnya, tidak ada satu suarapun yang secara langsung dapat mewakili kepentingan pemilik dan penduduk Kampung Baru dalam Perbadanan yang akan ditubuhkan untuk mengurus dan membangunkan hartanah mereka sendiri ! Maka, apakah jaminan bahawa cadangan dan pandangan dari pihak-pihak berkepentingan langsung tersebut dapat didengar dan diambil perhatian dalam proses pembangunan Kampung Baru kelak?

2. Fungsi dan Kuasa Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

Ada 14 fungsi-fungsi dan kuasa yang digariskan dalam cadangan penubuhan Perbadanan tersebut. Antara yang begitu merisaukan pemilik tanah Kampung Baru ialah klausa (g) yang menyatakan bidang kuasa yang luas Perbadanan dengan kelulusan Menteri untuk :-

“Menswastakan atau dengan apa-apa cara lain memindahmilik atau melupuskan mana-mana aktivitinya berhubungan dengan fungsi-fungsinya di bawah perenggan ini atau menswastakan atau dengan apa-apa cara lain memindahmilikkan atau melupuskan mana-mana asetnya (Baca : Aset orang –orang Melayu Kampung Baru !).

Peruntukan ini memberi kuasa yang sangat luas kepada Perbadanan untuk menswasta, memindahmilik dan melupuskan mana-mana aset berharga Kampung Baru kepada sesiapa sahaja, dalam usaha menjalankan peranannya sebagai satu “entiti perniagaan dan pelaburan”. Umum sedia maklum bahawa hartanah di Kampung Baru adalah merupakan “lubuk emas” yang masih belum diterokai oleh pelabut-pelabur hartanah baik dalam mahupun luar Negara.

Persoalannya ialah apakah masih ada jaminan bahawa aset kekal milik sepenuhnya orang-orang Melayu ini akan terus bertahan, dan dimiliki sepenuhnya oleh orang-orang Melayu Kampung Baru; ataupun ia akan terus “mencair” bersama arus pembangunan Kampung Baru kelak. Cadangan Kerajaan sebelum ini yang mengesyorkan bahawa pemilikan tanah Kampung Baru ini dibuka kepada bukan Melayu dengan kuota 60% : 40% , adalah contoh awal yang benar-benar mencabar kesabaran dan emosi pemilik dan penduduk-penduduk Kampung Baru.

3. Permindahan hakmilik tanah untuk tujuan pembangunan

Tanah-tanah dalam Kawasan Pembangunan yang diambil oleh Datuk Bandar akan dipindah hakmilik kepada atau diletakhak pada Perbadanan. Segala perbelanjaan dan pampasan yang kena dibayar bagi pengambilan tanah tersebut hendaklah dibayar oleh Perbadanan.

Soalan: Apakah Jaminan untuk pemilik-pemilik tanah Kampung Baru bahawa hakmilik tanah yang mereka serahkan kepada Perbadanan akan dikembalikan, ataupun jika dikembalikan sekalipun, apakah jaminan tidak ada syarat-syarat tertentu (syarat-syarat nyata) yang boleh dikenakan oleh Kerajaan ke atas mereka?

Bagaimana pula sekiranya Perbadanan tersebut dibubarkan selepas projek pembangunan yang dirancangkan tersebut selesai, sedangkan masalah hakmilik masih belum selesai sepenuhnya? Sememangnya peruntukan mengenai pembubaran Perbadanan ini ada dinyatakan secara spesifik dalam cadangan penubuhan Perbadanan tersebut. Haruslah diingat bahawa penubuhan Perbadanan adalah sebagai satu “business entity”, yang tentunya memikirkan untung dan rugi sahaja sebagai agenda utamanya. Bagaimana pula dengan nasib penduduk Kampung Baru selepas itu?

4. Kuasa untuk mengambil khidmat ejen, penasihat , dll

Perbadanan mempunyai kuasa untuk mengambil khidmat dan membayar ejen, perunding dan penasihat teknikal atau sesiapa sahaja untuk menjalankan apa-apa urusan atau untuk melakukan apa-apa tugasan dalam melaksanakan fungsi-fungsinya. Peruntukan ini tentunya terbuka kepada amalan kronisme yang meluas dan perlantikan yang bermotifkan kepentingan politik kepartian semata-mata. Dibimbangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah urus tadbir yang akan membawa kepada peningkatan kos secara mendadak, bakal mewarnai projek pembangunan Kampung Baru sekiranya tidak ada satu mekanisme khas diwujudkan untuk membendung gejala-gejala yang tidak sihat ini


5. Perlindungan anggota dan pegawai Perbadanan

Peruntukan ini menyatakan bahawa apa sahaja keputusan yang dibuat oleh anggota Perbadanan atau ejen atau mana-mana orang lain yang dikatakan telah dibuat dengan “suci hati” dan “bertindak dengan sah” bagi pihak Perbadanan, tidak boleh diambil tindakan undang-undang dan tidak boleh dicabar dalam mana-mana Mahkamah !

Peruntukan ini dengan jelas menyerahkan “absolute power” kepada Perbadanan untuk membuat apa-apa keputusan dalam proses pembangunan Kampung Baru, tanpa boleh didakwa atau diambil tindakan undang-undang dalam mana-mana Mahkamah. Sudahlah pihak pemilik dan penduduk Kampung Baru tidak dilibatkan sama dalam Perbadanan ini, kemudian, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Perbadanan kelak tidak boleh pula dicabar di Mahkamah oleh mana-mana pemilik tanah yang tidak berpuas hati. Perbadanan adalah “immune” di sisi undang-undang dan segala keputusan dan tindakan mereka adalah kebal dan tidak boleh dicabar melalui proses perundangan sama ada melalui Semakan Kehakiman (Judicial Review) mahupun melalui saman sivil secara individu.

Akhirnya, yang rugi ialah waris, penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru sendiri yang semuanya terdiri daripada orang Melayu. Tidak ada jaminan bahawa aset Melayu yang sangat berharga ini akan terus kekal di tangan orang-orang Melayu Kampung Baru sekiranya Perbadanan ini kekal dengan cadangan penubuhannya seperti ini dan diluluskan pula oleh Parlimen kelak.

Secara alternatifnya, PAS Wilayah Persekutuan menyokong penuh cadangan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo’Lo’ Hj Mohamad Ghazali yang menyarankan agar Perdana Menteri memperuntukkan satu Dana Khas seperti peruntukan Pembangunan Wilayah Iskandar di Johor, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan yang terbaru projek Menara Warisan setinggi 100 tingkat yang dikatakan kosnya mencecah RM5 billion. Tetapi kali ini peruntukan khas tersebut diberikan untuk pembangunan Kampung Baru yang seratus peratus milik penuh orang-orang Melayu.

Peruntukan tersebut pula haruslah dikendalikan oleh satu Badan Amanah yang akan dianggotai oleh wakil pemilik tanah , pewaris dan penduduk Kampung Baru yang sememangnya terdiri dari pelbagai latar belakang dan kepakaran masing-masing. Badan Amanah tersebut juga hendaklah turut dianggotai oleh wakil dari Lembaga MAS, wakil rakyat, wakil dari DBKL dan wakil dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang mewakili kerajaan pusat. Ini adalah bagi menanam keyakinan di kalangan penduduk bahawa pembangunan yang akan dijalankan kelak adalah demi kepentingan mereka.

Badan Amanah ini akan merancang secara bersama kaedah dan mekanisme pembangunan Kampung Baru dengan mengambil kira kebajikan serta hak pemilik tanah. Ia juga bagi memastikan bahawa pembangunan dapat dimulakan dalam masa yang sewajarnya dan dibuat secara berfasa supaya penduduk tidak perlu semuanya berpindah. Di samping itu, penduduk juga dapat memilih satu konsortium yang akan menjadi “pemaju” bagi memastikan tiada penyelewengan , salah urus tadbir, ketirisan dan kebocoran berlaku.

Pemilik akan terus mendapat manfaat dengan terus menjadi pemilik tanah dan menjadi pemegang saham, dan tidak perlu menyerahkan hakmilik mereka seperti yang dicadangkan Kerajaan melalui penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru tersebut. Aset dan hartanah milik orang-orang Islam Melayu yang semakin berkurang dan mengecil di kota metropolitan ini perlu terus dipertahankan oleh semua pihak.



Ahmad Zamri Bin Asa’ad Khuzaimi
Penasihat Undang-Undang
PAS Wilayah Persekutuan



Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Wednesday 13 October 2010

Program Meraikan Bakal-Bakal Haji Parlimen Titiwangsa


Seramai 30 bakal  jemaah haji diraikan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa , program berlangsung di Surau Ikhlasiah ( Surau Biru ) pada 10/10/2010 jam 3ptg . Wang dirham keluaran Kerajaan Negeri kelantan  antara hadiah utama untuk bakal2 jemaah haji
 Kaunter Pendafatran untuk Bakal-Bakal Jemaah Haji di uruskan Muslimat Kawasan


Ustaz Amran An-Nahrain bertindak selaku Pengerusi majlis mengalu-alukan kedatangan para hadirin ke Majlis bersama Pengarah program

 Ucapan dari Pengarah Program Cikgu Yusoof Hamid
 Laungan Labbaikallah Hummalabbaik memecah suasana di Surau Ikhlasiah

YDP Pas Titiwangsa Mejar ( B ) Ustaz Abdullah Wahab sedang menyampaikan Tazkirah Kepada Bakal Jemaah Haji


 Ucapan Alu-aluan Dari YB Dr Lo'Lo' Kepada Bakal Jemaah Haji



YDP Pas Titiwangsa sedang menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji
YB Dr Lo'Lo' sedang menyampaikan sumbangan Untuk bakal Jemaah Haji bagi muslimat

Bergambar bersama bakal-bakal jemaah haji

Bakal Jemaah Haji Muslimat.
Nasi Kabsah ( Nasi Arab ) hidangan  untuk para tetamu majlis
Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'