Saturday 16 October 2010

Kerajaan perlu jelaskan tubuh PPKB



PENUBUHAN PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU: TERHAKISNYA ASET ORANG MELAYU

Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik dalam sidang Parlimen yang baru lalu telah mengesahkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan Konsep Pembangunan Semula Kampung Baru Secara Komprehensif. Konsep pembangunan ini akan dilaksanakan melalui proses penyerahan hakmilik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan proses penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah tersebut di bawah Seksyen 204D KTN. Kaedah jual-beli tanah dan pengambilan balik tanah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960 akan turut digunakan oleh pihak Kerajaan.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, maka sebuah badan berkanun bernama “Perbadanan Pembangunan Kampung Baru” akan ditubuhkan di bawah Seksyen 49(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, 1982. Perbadanan ini akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pembangunan semula Kampung Baru. Hasrat Kementerian ialah supaya Perbadanan ini menjadi satu entiti perniagaan dan pelaburan (‘business and investment entity’) untuk membangunkan kawasan pembangunan Kampung Baru yang dikenalpasti melalui Pelan Tempatan Kampung Baru tanpa terlalu banyak terkongkong dengan peraturan-peraturan yang biasa terpakai kepada agensi-agensi Kerajaan.

Mana-mana bahagian di dalam Kampung Baru yang dikenalpasti untuk dibangunkan, akan diisytiharkan sebagai “Kawasan Pembangunan” (development area) dari masa ke semasa menurut Seksyen 47 Akta tersebut. Apabila ia telah diisytiharkan sebagai Kawasan Pembangunan, maka Kerajaan boleh menggunakan kaedah undang-undang yang dinyatakan di atas untuk mengambilmilik hartanah tersebut termasuklah dengan menggunakan kaedah pengambilan wajib (compulsory) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960! Apabila kaedah pengambilan tanah seperti ini digunakan, maka keputusan Kerajaan tersebut adalah muktamad dan ia tidak boleh dicabar dalam mana-mana Mahkamah melainkan setakat jumlah pampasannya sahaja.

Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Perbadanan tersebut dikatakan akan dibentang di Parlimen dalam sesi ini. Namun demikian, sehingga kini salinan RUU tersebut masih belum diedarkan oleh pihak Kerajaan kepada umum. Walau bagaimanapun, melihat kepada draf cadangan penubuhan Perbadanan tersebut, terdapat beberapa peruntukan-peruntukan tertentu yang amat memprejudis dan merugikan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) di Kampung Baru ini. Bukan hanya setakat Lembaga MAS yang sudah mentadbir Kampung Baru selama lebih seratus tahun dinafikan kewujudan dan peranannya dalam cadangan pembangunan Kampung Baru tersebut, malah transaksi hartanah Kampung Baru juga terbuka luas untuk dieksploitasi dan dipindahmilikkan kepada orang-orang bukan Melayu atau sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai oleh Perbadanan (yang bertindak sebagai entiti perniagaan dan pelaburan !). Ini dapat dilihat dalam beberapa peruntukan seperti berikut:-

1. Senarai Keanggotaan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru

Kenggotaan Perbadanan terdiri daripada Datuk Bandar yang bertindak sebagai Pengerusi, tiga (3) orang wakil dari Kerajaan Persekutuan iaitu KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, KSU Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (atau wakil-wakil mereka) , Peguam Negara atau wakilnya, Ketua Pengarah DBKL dan dua (2) orang lain yang dilantik oleh Pengerusi dengan persetujuan Menteri , yang mempunyai kelayakan professional, akademik dan pengalaman dalam perkara-perkara berhubung dengan perbankan, hartanah, pelaburan, perancangan kerajaan tempatan, kewangan, pembangunan hartanah, perdagangan, pentadbiran dan perniagaan. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan akan bertindak sebagai Setiausaha kepada Perbadanan.

Dari susunan anggota-anggota Perbadanan di atas, maka jelas sekali tidak ada tempat untuk wakil pemilik tanah, waris dan penduduk Kampung Baru, ahli Lembaga MAS mahupun Wakil Rakyat (Ahli Parlimen Titiwangsa) dalam Perbadanan ini. Natijahnya, tidak ada satu suarapun yang secara langsung dapat mewakili kepentingan pemilik dan penduduk Kampung Baru dalam Perbadanan yang akan ditubuhkan untuk mengurus dan membangunkan hartanah mereka sendiri ! Maka, apakah jaminan bahawa cadangan dan pandangan dari pihak-pihak berkepentingan langsung tersebut dapat didengar dan diambil perhatian dalam proses pembangunan Kampung Baru kelak?

2. Fungsi dan Kuasa Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

Ada 14 fungsi-fungsi dan kuasa yang digariskan dalam cadangan penubuhan Perbadanan tersebut. Antara yang begitu merisaukan pemilik tanah Kampung Baru ialah klausa (g) yang menyatakan bidang kuasa yang luas Perbadanan dengan kelulusan Menteri untuk :-

“Menswastakan atau dengan apa-apa cara lain memindahmilik atau melupuskan mana-mana aktivitinya berhubungan dengan fungsi-fungsinya di bawah perenggan ini atau menswastakan atau dengan apa-apa cara lain memindahmilikkan atau melupuskan mana-mana asetnya (Baca : Aset orang –orang Melayu Kampung Baru !).

Peruntukan ini memberi kuasa yang sangat luas kepada Perbadanan untuk menswasta, memindahmilik dan melupuskan mana-mana aset berharga Kampung Baru kepada sesiapa sahaja, dalam usaha menjalankan peranannya sebagai satu “entiti perniagaan dan pelaburan”. Umum sedia maklum bahawa hartanah di Kampung Baru adalah merupakan “lubuk emas” yang masih belum diterokai oleh pelabut-pelabur hartanah baik dalam mahupun luar Negara.

Persoalannya ialah apakah masih ada jaminan bahawa aset kekal milik sepenuhnya orang-orang Melayu ini akan terus bertahan, dan dimiliki sepenuhnya oleh orang-orang Melayu Kampung Baru; ataupun ia akan terus “mencair” bersama arus pembangunan Kampung Baru kelak. Cadangan Kerajaan sebelum ini yang mengesyorkan bahawa pemilikan tanah Kampung Baru ini dibuka kepada bukan Melayu dengan kuota 60% : 40% , adalah contoh awal yang benar-benar mencabar kesabaran dan emosi pemilik dan penduduk-penduduk Kampung Baru.

3. Permindahan hakmilik tanah untuk tujuan pembangunan

Tanah-tanah dalam Kawasan Pembangunan yang diambil oleh Datuk Bandar akan dipindah hakmilik kepada atau diletakhak pada Perbadanan. Segala perbelanjaan dan pampasan yang kena dibayar bagi pengambilan tanah tersebut hendaklah dibayar oleh Perbadanan.

Soalan: Apakah Jaminan untuk pemilik-pemilik tanah Kampung Baru bahawa hakmilik tanah yang mereka serahkan kepada Perbadanan akan dikembalikan, ataupun jika dikembalikan sekalipun, apakah jaminan tidak ada syarat-syarat tertentu (syarat-syarat nyata) yang boleh dikenakan oleh Kerajaan ke atas mereka?

Bagaimana pula sekiranya Perbadanan tersebut dibubarkan selepas projek pembangunan yang dirancangkan tersebut selesai, sedangkan masalah hakmilik masih belum selesai sepenuhnya? Sememangnya peruntukan mengenai pembubaran Perbadanan ini ada dinyatakan secara spesifik dalam cadangan penubuhan Perbadanan tersebut. Haruslah diingat bahawa penubuhan Perbadanan adalah sebagai satu “business entity”, yang tentunya memikirkan untung dan rugi sahaja sebagai agenda utamanya. Bagaimana pula dengan nasib penduduk Kampung Baru selepas itu?

4. Kuasa untuk mengambil khidmat ejen, penasihat , dll

Perbadanan mempunyai kuasa untuk mengambil khidmat dan membayar ejen, perunding dan penasihat teknikal atau sesiapa sahaja untuk menjalankan apa-apa urusan atau untuk melakukan apa-apa tugasan dalam melaksanakan fungsi-fungsinya. Peruntukan ini tentunya terbuka kepada amalan kronisme yang meluas dan perlantikan yang bermotifkan kepentingan politik kepartian semata-mata. Dibimbangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah urus tadbir yang akan membawa kepada peningkatan kos secara mendadak, bakal mewarnai projek pembangunan Kampung Baru sekiranya tidak ada satu mekanisme khas diwujudkan untuk membendung gejala-gejala yang tidak sihat ini


5. Perlindungan anggota dan pegawai Perbadanan

Peruntukan ini menyatakan bahawa apa sahaja keputusan yang dibuat oleh anggota Perbadanan atau ejen atau mana-mana orang lain yang dikatakan telah dibuat dengan “suci hati” dan “bertindak dengan sah” bagi pihak Perbadanan, tidak boleh diambil tindakan undang-undang dan tidak boleh dicabar dalam mana-mana Mahkamah !

Peruntukan ini dengan jelas menyerahkan “absolute power” kepada Perbadanan untuk membuat apa-apa keputusan dalam proses pembangunan Kampung Baru, tanpa boleh didakwa atau diambil tindakan undang-undang dalam mana-mana Mahkamah. Sudahlah pihak pemilik dan penduduk Kampung Baru tidak dilibatkan sama dalam Perbadanan ini, kemudian, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Perbadanan kelak tidak boleh pula dicabar di Mahkamah oleh mana-mana pemilik tanah yang tidak berpuas hati. Perbadanan adalah “immune” di sisi undang-undang dan segala keputusan dan tindakan mereka adalah kebal dan tidak boleh dicabar melalui proses perundangan sama ada melalui Semakan Kehakiman (Judicial Review) mahupun melalui saman sivil secara individu.

Akhirnya, yang rugi ialah waris, penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru sendiri yang semuanya terdiri daripada orang Melayu. Tidak ada jaminan bahawa aset Melayu yang sangat berharga ini akan terus kekal di tangan orang-orang Melayu Kampung Baru sekiranya Perbadanan ini kekal dengan cadangan penubuhannya seperti ini dan diluluskan pula oleh Parlimen kelak.

Secara alternatifnya, PAS Wilayah Persekutuan menyokong penuh cadangan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo’Lo’ Hj Mohamad Ghazali yang menyarankan agar Perdana Menteri memperuntukkan satu Dana Khas seperti peruntukan Pembangunan Wilayah Iskandar di Johor, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan yang terbaru projek Menara Warisan setinggi 100 tingkat yang dikatakan kosnya mencecah RM5 billion. Tetapi kali ini peruntukan khas tersebut diberikan untuk pembangunan Kampung Baru yang seratus peratus milik penuh orang-orang Melayu.

Peruntukan tersebut pula haruslah dikendalikan oleh satu Badan Amanah yang akan dianggotai oleh wakil pemilik tanah , pewaris dan penduduk Kampung Baru yang sememangnya terdiri dari pelbagai latar belakang dan kepakaran masing-masing. Badan Amanah tersebut juga hendaklah turut dianggotai oleh wakil dari Lembaga MAS, wakil rakyat, wakil dari DBKL dan wakil dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang mewakili kerajaan pusat. Ini adalah bagi menanam keyakinan di kalangan penduduk bahawa pembangunan yang akan dijalankan kelak adalah demi kepentingan mereka.

Badan Amanah ini akan merancang secara bersama kaedah dan mekanisme pembangunan Kampung Baru dengan mengambil kira kebajikan serta hak pemilik tanah. Ia juga bagi memastikan bahawa pembangunan dapat dimulakan dalam masa yang sewajarnya dan dibuat secara berfasa supaya penduduk tidak perlu semuanya berpindah. Di samping itu, penduduk juga dapat memilih satu konsortium yang akan menjadi “pemaju” bagi memastikan tiada penyelewengan , salah urus tadbir, ketirisan dan kebocoran berlaku.

Pemilik akan terus mendapat manfaat dengan terus menjadi pemilik tanah dan menjadi pemegang saham, dan tidak perlu menyerahkan hakmilik mereka seperti yang dicadangkan Kerajaan melalui penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru tersebut. Aset dan hartanah milik orang-orang Islam Melayu yang semakin berkurang dan mengecil di kota metropolitan ini perlu terus dipertahankan oleh semua pihak.



Ahmad Zamri Bin Asa’ad Khuzaimi
Penasihat Undang-Undang
PAS Wilayah Persekutuan



Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

No comments: