Monday 24 January 2011

RAJA KAMPONG BHARU

Ucapan ini ditujukan khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar, Dato’ Raja Nong Chik Bin Dato’ Raja Zainal
Abidin kerana akan ditabalkan menjadi “RAJA KAMPONG BHARU” pada Mac
2011 nanti.

Untuk menjadi “RAJA KAMPONG BHARU” tidak susah, hanya perlu bentangkan
dan luluskan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru
2010 (RUU PPKB 2010) sahaja. Justeru Dato’ Raja Nong Chik pada 17
Disember 2010 yang lalu telah membentangkan untuk bacaan kali pertama
RUU tersebut di Dewan Rakyat. Dalam kegawatan Negara dan pimpinan
Melayu menghebohkan Ketuanan Melayu dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu
maka tindakan ini harus dipuji kerana akan menambah seorang lagi Raja
Melayu khas bagi penduduk Kampong Bharu. TAHNIAH sekali lagi.

RUU PPKB 2010 dibentangkan bertujuan untuk menubuhkan suatu Perbadanan
Pembangunan Kampong Bharu dengan tanggungjawab untuk melaksanakan
dasar, arahan dan strategi berhubung dengan pembangunan dalam kawasan
pembangunan Kampong Bharu, untuk menggalakkan, merangsang,
meningkatkan, memudahkan dan menyelaraskan pembangunan dalam kawasan
Kampong Bharu dan untuk mengadakan peruntukkan-peruntukkan yang
berkaitan dengannya.

Tujuan utama RUU PPKB 2010 ini adalah untuk menubuhkan suatu
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) yang mana fungsi dan
kuasanya ini dinyatakan dengan jelas di dalam Bahagian III RUU ini.
Mengikut Fasal 5, Perbadanan akan dianggotai oleh tidak lebih dari
enam belas (16) orang ahli yang terdiri daripada :
a)Seorang Pengerusi yang dilantik oleh Menteri tertakluk kepada
kelulusan Perdana Menteri;
b)Tidak lebih empat (4) orang wakil Kerajaan Persekutuan yang
dilantik oleh Menteri;
c)Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar;
d)Datuk Bandar Kuala Lumpur atau wakilnya;
e)Seorang wakil Kerajaan Negeri Selangor yang dinamakan oleh Raja
Negeri Selangor dan hendaklah dilantik oleh Menteri;
f)Dua (2) orang daripada tuan tanah Kampong Bharu yang dilantik oleh
Menteri; dan
g)tidak lebih enam (6) orang anggota lain yang dilantik oleh Menteri.

Fasal 17 dengan jelas menyatakan bahawa Perbadanan adalah
bertanggungjawab kepada Menteri dan Menteri juga boleh memberikan
arahan kepada Perbadanan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Selain Perbadanan, terdapat suatu Majlis Penasihat diwujudkan melalui
Fasal 19 (1) bagi maksud menasihati Perbadanan. Fasal 20 seterusnya
memperuntukkan keanggotaan Majlis Penasihat yang mestilah terdiri
daripada :
a)Pengerusi; dan
b)Tidak lebih lima belas (15) orang wakil masyarakat Kampong Bharu
yang semuanya dilantik oleh Menteri.

Majlis Penasihat ini bagaimana pun tidak lebih daripada “Majlis
Mesyuarat Tingkap” dalam filem Tan Sri P. Ramlee kerana nasihat Majlis
ini tidak mengikat Perbadanan seperti yang dinyatakan di dalam Fasal
19 (3). Apa guna mengadakan suatu Majlis penasihat jika nasihat mereka
tidak mengikat dan boleh dibakulsampahkan? Apa rasionalnya Majlis
Penasihat ini?

Berdasarkan penubuhan dan keanggotaan Perbadanan serta Majlis
Penasihat ini, maka jelas dilihat bahawa kuasa penuh RUU ini adalah
terletak di tangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar iaitu Dato’ Raja Nong Chik. Beliau berkuasa melantik ahli
Perbadanan dan memberi arahan kepada Perbadanan. Beliau jugalah
berkuasa melantik ahli Majlis Penasihat. Dato’ Raja Nong Chik inilah
“Raja Kampong Bharu” yang akan ditabalkan jika RUU PPKB 2010 ini
diluluskan nanti. TAHNIAH sekali lagi kepada Dato’ Raja Nong Chik
kerana akan menjadi “RAJA KAMPONG BHARU” dan juga Tahniah kepada
penduduk serta pemilik tanah Kampong Bharu kerana akan mendapat
seorang “RAJA” baru.

Dengan penabalan “RAJA” baru ini maka kedudukan tanah Kampong Bharu
diambang bahaya. Ia terdedah kepada pemilikan orang-orang dan syarikat-
syarikat konglomerat yang kaya-raya dan beduit. Hak dan keistimewaan
pemilik tanah Kampong Bharu yang dijamin melalui Malay Agricultural
Settlement Rules 1950 [Selangor G.N. 50/51 & Selangor G.N. 66/51 dan
Selangor G.N. 480/54 akan terhapus. Perlu diingat dan diambil
perhatian bahawa tanah Kampong Bharu telah diwujudkan sejak tahun 1899
atas desakan penduduk Melayu di Kuala Lumpur ke atas pihak pentadbir
British ketika itu. Ekoran desakan tersebut, Residen Brittish Selangor
telah bersetuju untuk menubuhkan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur
merangkumi seluas 223 ekar tanah di antara Sungai Klang dan juga Jalan
Batu (Batu Road). Antara tujuan Jeneral Residen Brittish mewujudkan
perkampungan tersebut adalah untuk melibatkan dan mendidik anak-anak
bangsa Melayu :-
a)Untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran Kerajaan Residen
British;
b)Untuk membolehkan orang-orang Melayu mengambil peluang dalam
pembangunan dan kemajuan Kuala lumpur.

Justeru pemilik dan penduduk Kampong Bharu pada tahun ini 2011 telah
merayakan sambutan 111 tahun penubuhannya. Ironinya Kementerian
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar membentangkan RUU PPKB
2010 di Parlimen dengan hasrat membatalkan dan menghapuskan status
Kampong Bharu yang unik ini. Fasal 57 (1) menyebut bahawa Malay
Agricultural Settlement Rules 1950 adalah dibatalkan manakala Fasal 57
(2) pula memansuhkan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu
yang ditubuhkan di bawah Malay Agricultural Settlement Rules 1950
tersebut. Dengan pembatalan dan pembubaran ini, status tanah Kampong
Bharu adalah sama seperti tanah-tanah lain yang akan terdedah kepada
pemilikan pihak-pihak lain sedangkan tujuan utama penubuhan Kampong
Bharu adalah khas semata-mata untuk orang Melayu di Kuala Lumpur.
Lebih baik Penjajah British yang menjamin hak Ketuanan Melayu daripada
Kerajaan Ketuanan Melayu yang akan menghapuskan hak bangsa sendiri
atas nama kemajuan dan pembangunan.

Fasal 51 RUU PPKB 2010 seterusnya menyatakan bahawa tiada apa-apa
tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau
dibawa, dimulakan atau dibuat ke atas Perbadanan atau anggota
Perbadanan, atau anggota jawatankuasa, atau mana-mana pekerja atau
ejen Perbadanan di dalam mana-mana mahkamah. Ini adalah kekebalan
Perbadanan daripada undang-undang. Peruntukkan ini sekali lagi
menunjukkan bahawa RAJA KAMPONG BHARU dan Perbadanan adalah kebal
melebihi kekebalan Raja-Raja Melayu yang ada. Hidup Raja Kampong
Bharu.

Akhirnya kepada pemilik tanah Kampong Bharu, ingatan ini kepada anda
semua. Adakah ini yang anda mahukan? Adakah ini yang diperjuangkan
selama ini untuk pembangunan? Tepuk dada tanya selera. Tiada sesiapa
boleh mempertahankan hak anda melainkan anda sendiri.



Zulhazmi Shariff


Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

1 comment:

Anonymous said...

Rasanya dia ni Raja Kapoor kot.

Saya pasti suatu masa nanti anak cucu asal orang Kampung Baru ni akan menyesal kerana tanah2 mereka tergadai dek kerana pembangunan yang di jaja oleh Umno. Anak-cucu orang Kampung Baru akan terus mengingati Raja Kapoor inilah yang telah melenyapkan warisan tanah melayu Kg Baru.

Syabas Raja Kapoor.