Thursday 30 June 2011

PEMILIK & PEWARIS TANAH KG. BHARU MENOLAK PERBADANAN PEMBANGUNAN KG. BHARU




Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) di Dewan Rakyat pada 17 Disember 2010. Pada mulanya telah dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada sesi Parlimen pada bulan Mac 2011. Walau bagaimana pun setelah mendapat tentangan dan bantahan para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu cadangan bacaan kali kedua telah ditangguhkan ke sesi Parlimen pada Jun 2011 kali ini.
Bantahan dan tentangan para pemilik dan pewaris tanah ini kerana mereka telah didedahkan dengan beberapa peruntukkan di dalam RUU PPKB 2010 tersebut yang jelas akan menganaktirikan, memanipulasi, menindas dan akhirnya akan merampas tanah milik mereka. Kementerian dalam beberapa sesi penerangan kepada para pemilik dan pewaris tanah memberi jaminan bahawa kepentingan pemilik tanah tetap terjamin tetapi jaminan tersebut tidak boleh diterima begitu sahaja. Kenapa? Kerana sebelum-sebelum ini para pemilik dan pewaris tanah sudah diperdaya, dimanipulasi dan ditipu oleh pihak Kementerian.
Cadangan untuk menggubal suatu Akta bagi membangunkan Kg. Bharu bukan sesuatu yang baru. Ia telah bermula sejak tahun 2007 apabila suatu draf rang undang-undang mengenainya telah digubal. Bermula daripada deraf tersebut, beberapa siri perbincangan di antara kerajaan melalui KWPKB telah dilakukan antaranya melalui suatu makmal yang dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan di Melaka. Keputusan di dalam makmal tersebut antaranya mahukan KWPKB meminda beberapa perkara yang difikirkan tidak wajar dan hendaklah membentangkan naskah akhir rang undang-undang tersebut sebelum dibentangkan di Parlimen. Malangnya Kementerian bertindak sebaliknya iaitu tidak menghiraukan segala cadangan yang diputuskan di dalam makmal tersebut dan tidak juga membentangkan terlebih dahulu kepada para pemilik tanah. Kerajaan terus dengan bangganya membentangkan RUU PPKB 2010 di Dewan Rakyat. Apa maksud tindakan ini? Maksudnya para pemilik dan pewaris tanah telah diperdaya dan dimanipulasi. Memang benar Kerajaan meminta pandangan mereka tetapi pandangan mereka tak pernah diambil perhatian. Sekarang sekali lagi Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar hendak meneruskan bacaan kedua di Dewan ini untuk meminta semua ahli Parlimen bersetuju dengannya.
Hari ini, bersama saya adalah wakil pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu ingin menegaskan di sini dan untuk kesekian kalinya bahawa para pemilik dan pewaris tanah menolak sebarang cadangan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu sekaligus menolak RUU PPKB 2010 ini.
Kami Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membawa mesej ini daripada para pemilik dan pewaris tanah bahawa apa sahaja yang berkaitan tanah Kg. Bharu hendaklah mengambilkira kepentingan dan persetujuan pemilik dan pewaris tanah dan bukannya wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan tersendiri.
Kg. Bharu yang wujud sejak 110 tahun lalu ditadbir secara sah oleh Lembaga Pentadbiran MAS (Malay Aggricultural Settlement). Lembaga MAS ini merupakan pentadbir yang sah melalui Malay Agricultural Settlement Rules 1950 [Selangor G.N. 50/51 & Selangor G.N. 66/51 dan Selangor G.N. 480/54 yang sehingga kini masih berkuatkuasa. Enakmen dan Lembaga MAS juga akan dihapuskan melalui RUU PPKB 2010 ini. Persoalannya, jika Kg. Bharu sudah mempunyai suatu institusi pentadbiran yang sah, kenapa perlu suatu Perbadanan baru diwujudkan melalui RUU PPKB 2010 ini? Kenapa tidak dibangunkan Kg. Bharu melalui Lembaga Pentadbiran MAS yang sudah mempunyai kuasanya yang sah. Kenapa tidak Kerajaan memperkukuhkan institusi ini dan memberikan segala bantuan dan sokongan kepada institusi ini yang telah lama mentadbir Kg. Bharu?

Kami juga maklum bahawa Klausa untuk membubarkan Enakmen dan Lembaga MAS di dalam RUU PPKB 2010 ini telah dicadangkan untuk ditarik balik, tetapi jika Lembaga MAS masih wujud, kenapa perlunya Perbadanan? Kenapa perlu ada dua institusi untuk mentadbir Kg. Bharu? Apa status Lembaga Pentadbir MAS jika Perbadanan ini diwujudkan? Adakah hanya sekadar pemerhati sahaja sedangkan mereka adalah pentadbir yang sah.
Terdapat banyak lagi isu dan persoalan berkaitan niat RUU PPKB 2010 ini yang perlu dibahaskan. RUU PPKB 2010 yang dibacakan kali pertama yang mendapat tentangan para pemilik dan pewaris tanah masih ada di hadapan kami. Kemudian kami dimaklumkan oleh para [pemilik dan pewaris tanah ini bahawa mereka telah dibentangkan beberapa pindaan kononnya penambahbaikan kepada RUU PPKB 2010. Tetapi cadangan pindaan tersebut juga sebenarnya terlalu kabur dan mempunyai muslihat-muslihat tertentu. Antara pindaan yang dicadangkan seperti berikut :-
a)   Keanggotaan Perbadanan
a.   Telah ditambah keanggotaan bagi jawatan Timbalan Pengerusi yang mana tiada dalam RUU asal;
b.   Dua (2) wakil tuan tanah Kg. Bharu telah digantikan dengan lima (5) wakil NGO;
b)   Majlis Penasihat
a.   Nasihat Majlis Penasihat hanya akan dikaji, diteliti dan diambilkira jika sesuai;
c)    Akta Pengambilan Tanah 1960
a.   Peruntukkan berkaitan penggunaan Akta ini ditarikbalik tetapi tidak bermakna Akta ini tidak boleh digunapakai dalam proses pembangunan Kg. Bharu.
d)   Pemansuhan dan Pembubaran Lembaga Pentadbiran MAS
a.   Peruntukkan ini telah ditarikbalik tetapi lebih banyak menimbulkan persoalan seperti yang disebutkan sebelum ini.
Justeru hari ini, saya bersama wakil-wakil pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu menyeru dan mendesak KWPKB supaya menarikbalik RUU PPKB 2010 dan dengarlah hasrat dan suara pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu kerana ini adalah tanah dan hak mereka.

YB Salehhuddin Ayub mewakili YB Dr Lo’Lo

Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'

Monday 13 June 2011

DATO’ MENTERI BESAR LAWAT RAKYAT DI SEPANG


KENYATAAN AKHBAR
11 JUN  2011

DATO’  MENTERI BESAR LAWAT RAKYAT DI SEPANG

Dato' Menteri Besar Tan Sri Khalid telah meluangkan satu hari di daerah Sepang bersama rakyat sempena Progam Khas Mesra Rakyat di seluruh Selangor yang bertujuan mendekati rakyat serta memahami dan menyelesaikan masalah mereka.

Beliau memulakan program di Sepang dengan Program Perhimpunan Pagi dan Dialog di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, bersama kakitangan kerajaan serta pemimpin tempatan termasuk pegawai kerajaan, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuaan Kampung (JKKK) di Sepang.

Dalam sesi dialog tersebut, Menteri Besar memberi penerangan mengenai dasar-dasar baru, terutamanya dasar yang bertujuan memudahkan sistem pentadbiran dalam isu-isu tanah.
"Di bawah Skim Pemilikan Tanah Persendirian, rakyat yang ingin memiliki tanah atau rumah secara sah kini ada pillihan untuk membayar RM 1,000 sahaja sebagai premium. Bayaran penuh premium hanya akan dikenakan sekiranaya tanah atau rumah tersebut dijual kepada pihak ketiga yang bukan ahli keluarga," kata beliau.

Turut diperkenalkan adalah sistem pentadbiran tanah yang berasaskan sistem data komputer yang akan meringankan beban pegawai kerajaan dalam penyimpanan fail-fail tanah seperti sedia ada.

Beliau juga telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menambah baik pengendalian Skim Mesra Usia Emas dengan mewujudkan satu program baru dimana baucer pembelian barangan makanan akan diberi kepada warga emas.

“Kita lakukan begini kerana warga emas walaupun gembira dengan skim khairat kematian sebanyak RM2,500, namun begitu mahu menikmatinya sewaktu masa hidup. Oleh yang demikian, kita akan lancarkan program 'Jom pergi shopping bersama ADUN'. Bagi warga emas yang menyertainya akan dibawa ke hypermarket di mana mereka akan diraikan serta diberi baucer untuk berbelanja. Syarikat besar seperti Tesco, Giant dan Econsave telah menyatakan keinginan untuk turut serta dalam program ini,” kata beliau. Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM5 hingga RM 10 juta untuk menjayakan inisiatif ini.

Dato' Menteri Besar turut serta dalam dialog bersama lebih 4,000 rakyat di Dewan Orang Ramai Dengkil di mana rakyat berpeluang mengutarakan masalah-masalah yang dihadapi terus kepada Menteri Besar. Dalam ucapan beliau, Dato' Menteri Besar mengulangi komitmen beliau terhadap menjunjung amanah yang diberikan oleh rakyat, iaitu untuk mereformasikan kerajaan negeri.

"Program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah untuk manfaat semua rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama, atau kecenderungan politik," tambah beliau. Di Dengkil, Dato' Menteri Besar menyampaikan bantuan MES kepada peserta Skim Mesra Usia Emas dan Tabung Warisan Anak Selangor serta menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Sebelum itu, beliau telah menunaikan solat jumaat bersama rakyat di Masjid As-Syakirin, Kg. Labu Lanjut dan seterusnya menjamu selera bersama lebih kurang 300 penduduk. Seterusnya beliau turut melawat pengusaha industri kecil dan sederhana di Kampung Sungai Buah.

Kemuncak program tersebut adalah ceramah perdana berkenaan pencapaian negeri Selangor di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, dimana penasihat ekonomi negeri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan.

Penasihat Ekonomi Negeri Selangor telah mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah memperkenalkan pelbagai dasar dan program demi membela kebajikan rakyat terutama program pemilikan rumah serta pembinaan rumah mampu milik.

"Ini sebenarnya bukan kewajipan kerajaan negeri kerana kewangan kerajaan negeri mempunyai kekangan. Namun demikian, kerajaan negeri Selangor terpanggil untuk lakukan projek perumah mampu milik kerana kerajaan persekutuan enggan berbuat demikian. Jadi saya ingin mengucapkan syabas kepada Tan Sri Khalid," kata Anwar kepada lebih kurang 1,000 hadirin di ceramah tersebut.

Sepang adalah daerah ketiga yang dilawati sempena Progam Khas Mesra Rakyat selepas Klang dan Hulu Langat. Beliau dijangka melawat Hulu Selangor pada Julai depan.

Dikeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, No 10 Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru, 50300 Kuala Lumpur. Tel: 0326980025 Fax: 0326980026 yb.drlolo@gmail.com twitter: docmarjan Fb: Yb Dr Lo'Lo'